http://www.malaysianinsider.com/index.php/opinion/zulhabri-supian/36810-ganyang-malaysia-
SEPT 4 -- “Ganyang”, “hancur”, “jatuh” dan yang sama erti dengannya merupakan satu perkataan yang mudah untuk diungkap. Lagi-lagi jika ditiup dengan api kemarahan, kebencian, prejudis dan yang lebih murni, kekecewaan.
Di Malaysia sendiri, saya sering mendengar dan kadang kala meneriak juga kata-kata seperti “Hancur BN”, “Jatuh Mahathir” dan yang sebaya maksudnya apabila keadaan dan suasana memerlukan saya berbuat demikian.
Saya sekarang berada di Jakarta dan Insya Allah akan meraikan hari lebaran (Hari Raya di Malaysia) 1430 Hijrah di tanah seberang. Sungguhpun ini bukanlah kali pertama saya ke Indonesia, saya pasti tidak terlepas untuk dipertanyakan tentang hal-hal yang membangkitkan rasa panas dan sensitif di sini terhadap Malaysia. Daripada isu pencerobohan armada Tentera Laut Diraja Malaysia di Ambalat (tidak pasti sama ada ia benar terjadi) yang sedang di dalam peringkat rundingan kedua-dua negara, kes Manohara, kes Malaysia sebagai pengeksport pengganas, isu maling (gelar untuk pencuri) lagu-lagu dan adat budaya dari Indonesia (yang terkini isu tarian pendet dari Bali), penindasan terhadap TKI dan beberapa lagi.
Oleh kerana akan berada di sini agak lama juga, saya membuat keputusan untuk menyewa kosan, istilah untuk bilik yang disewakan secara kontrak mengikut tempoh-tempoh tertentu. Agak mengejutkan juga apabila teman saya di sini menasihatkan untuk tidak mendedahkan identiti bahawa saya orang Malaysia kerana mungkin nanti dicurigai sebagai pengganas (terima kasih kepada Noordin Mat Top) dan yang sama erti negatif dengannya. Hal ini tidak dapat ditutup kerana pemilik kosan ini meminta saya memberi salinan KTP (Kartu Pengenalan Diri), maka akhirnya saya memberitahu pemilik yang saya panggil “Ibu” asal usul saya.
Syukur semuanya positif walaupun bertalu-talu juga disiasat dan setelah itu dipersoalkan tindakan-tindakan yang dilakukan Malaysia terhadap Indonesia, mujur saya tidak memberi apa-apa respon selain mengangguk dan tidak cuba untuk membuka diskusi, takut-takut nanti dihalau keluar. Jelas yang tergambar di sini adalah sikap sebahagian masyarakat Indonesia yang senang terpedaya dan termakan emosi nasionalisme sempit yang disensaikan oleh media-media di Indonesia, kebebasan media yang dirayakan setelah kejatuhan Suharto. Layari sahaja forum-forum anti-Malaysia dan juga anti-Indonesia untuk melihat betapa parahnya kebencian yang sedang merebak luas ini.
Namun di satu sisi yang lain, teman-teman saya di kalangan penulis, aktivis NGO, pemuzik, pencinta sukan pemotoran, pencinta kembara, pekerja seks, teman tapi mesra (TTM) dan bermacam-macam lagi mengalu-alukan kedatangan saya ke tanah mereka dengan hati yang gembira dan terbuka. Mereka ini sama seperti masyarakat Indonesia lain, sering menonton berita yang hampir setiap masa menghiasi kaca televisyen dan membaca surat-surat khabar harian yang dijual di mana-mana hatta di persimpangan jalan. Namun apa yang membezakan kelompok ini dengan yang lain adalah mereka inginkan maklumat yang seimbang dan berdasarkan fakta berbanding semangat dan emosional bersuntik nasionalisme melampau.
Dari sumber : THE MALAYSIAN INSIDER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan