Jumaat, 16 Oktober 2009

Blighted Ovum

Ia terjadi kerana apabila berlaku persenyawaan dan implantasi, cuma pembentukan uri sahaja yang berlaku tetapi janin tidak terbentuk. Ia selalunya akan berlaku pada 6-12 minggu kehamilan dan penyebab utama keguguran pada trimester pertama.
Apa yang berlaku?
Setelah implantasi berlaku, selalunya kehamilan akan berlaku seperti biasa, walau bagaimanapun, sekiranya janin tidak normal, proses kehamilan akan terganggu dan berhenti. Ini adalah cara untuk badan kita mempastikan cuma janin yang normal sahaja akan membentuk dan membesar. Ia kebanyakan berpunca oleh kromosom yang tidak normal samada dari sperma atau telur.
Walaupun blighted ovum ini kerap berlaku, tetapi ia jarang terjadi 2 kali berturut-turut kepada wanita yang sama. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku keguguran berulangan, doktor mungkin akan membuat penyiasatan yang lebih mendalam. Ia juga boleh berlaku pada kandungan kembar, di mana salah satu telur yang bersenyawa tidak berkembang manakala yang satu lagi membentuk seperti biasa. Ini dipanggil blighted twin.
Masih rasa hamil
Walaupun janin tidak membesar, selalunya wanita begini masih merasa seperti wanita hamil yang lain kerana hormon kehamilan masih ada di dalam badan, dan sekiranya ujian kehamilan dilakukan ia masih lagi positif.
Tanda-tanda
Tanda-tanda biasa termasuklah pendarahan kecil, sakit ari-ari dan pendarahan dari faraj. Ujian ultra-bunyi akan memberikan kepastian samada janin masih hidup atau mati. Ia selalunya akan menunjukan karung kosong tanpa janin di dalamnya.
Dapatkan rawatan
Blighted ovum selalunya akan gugur sendiri secara beransur-ansur tetapi kebanyakan wanita memilih untuk menjalani D&C sebaik sahaja diagnosa dibuat. Bagi mereka yang mengalami komplikasi seperti jangkitan kuman, kesakitan atau pendarahan yang banyak, D&C akan disarankan kerana ia boleh membahayakan rahim.
D&C adalah satu prosedur kecil di mana tisu yang tertinggal akan disedut dan dikikis keluar (scrape) dengan berhati-hati. Walaupun ia tidak merbahaya, ada sedikit risiko parut pada rahim yang boleh memberi kesan kepada kesuburan.
Peluang hamil pada masa hadapan
Blighted ovum tidak memberi kesan terhadap kesuburan anda dan kebanyakan wanita (>80%) akan hamil secara normal tanpa sebarang masalah. Walau bagaimanapun, dinasihatkan agar anda menunggu selama 2-3 bulan selepas ia berlaku untuk badan dan emosi anda pulih sepenuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan